Firman Allah SWT melalui ayat 82 surah at-Taubah bermaksud:
“Maka bolehlah mereka (golongan munafik) ketawa sedikit (di dunia ini) dan
mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang
mereka telah usahakan (semasa hidup di dunia).” Dan dalam ayat 60 surah an-Najm
yang bermaksud: “Maka mengapa kamu ketawa dan tidak menangis?”
Mesej daripada maksud dua potong ayat di atas walaupun pendek, sarat dengan
pelbagai pengajaran yang perlu diambil oleh kita semua, betapa Allah SWT mencemuh
golongan munafik yang boleh disifatkan sebagai golongan yang mana hidup mereka
penuh dengan kepura-puraan.
Sesungguhnya kedua-dua ayat berkenaan di atas ditujukan kepada golongan munafik
yang banyak mempersendakan kebenaran ayat-ayat al-Quran ataupun pengajaran
daripada hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. Mereka merupakan golongan yang
menzahirkan luaran mereka sebagai orang Islam, tetapi pada sanubari mereka
menyatakan kebencian yang amat sangat terhadap Islam, lebih dahsyat daripada
orang bukan Islam.
Mereka menyatakan kononnya mahu melakasana dan menegakkan hukum-hukum Islam,
tetapi pada masa yang sama menyubur serta memperbanyakkan program-program
maksiat melalui penganjuran sitcom-sitkom gelak ketawa, malah dipertandingkan
seperti ‘Rajalawak’/'Lawaking’ yang mahu mengajak penonton supaya banyak ketawa
dan menangis sedikit.
Tidak ada program lawak yang mengajak manusia untuk berfikir pada alam akhirat
atau menyebabkan mereka menangis. Tetapi yang jelas bahawa mereka diajak untuk
ketawa hingga lupa tugas sebenar untuk beriman kepada Alla SWT, sesungguhnya
terdapat pandangan di kalangan ulama kontemporari hari ini yang menegaskan
bahawa umat Islam adalah umat serius yang mempunyai tanggungjawab besar menyeru
manusia sejagat untuk kembali kepada fitrah mereka iatu menyembah Allah – Tuhan
segala manusia.
Apa yang jelas jika ciri-ciri golongan munafik ada dalam diri insan Muslim, ia
boleh dianggap sebagai satu musibah besar, kerana ciri-ciri tersebutlah yang
akan mengundang kemarahan Allah dan sudah pasti tidak akan berjaya mendapatkan
pertolongan Nabi Muhammad pada hari akhirat kelak.
Perkara ini ada ditegaskan Allah melalui firman-Nya dalam ayat 145 surah
an-Nisaa yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada
tingkatan yang terkebawah sekali dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan
engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka.”
Berdasarkan hadis Riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Muhammad s.a.w mengatakan:
Tanda orang-orang munafiq itu ada tiga keadaan.
* Pertama, apabila berkata-kata, dia berdusta.
* Kedua, apabila berjanji, dia mengingkari.
* Ketiga, apabila diberikan amanah (kepercayaan), dia mengkhianatinya.
Amanah Daripada Allah
Apabila dilihat kepada maksud pengisian yang ada dalam hadis baginda di atas,
kita dapat simpulkan bahawa masih terdapat di kalangan umat Islam hari ini yang
sanggup berdusta semata-mata untuk mencapai impian dalam hidup mereka.
Mereka tidak mempedulikan larangan Allah atau suruhan-Nya, yang dilarang itulah
menjadi keutamaannya untuk dilakukan, sedangkan suruhan Allah diabaikan.
Gambaran ini dapat dilihat secara jelas, sebagai contoh penyertaan individu
Muslim dalam program yang dilarang seperti Rajalawak, ia menjadi pilihan dan
kesukaan ramai manusia hari ini, pada masa yang sama ramai juga yang
meninggalkan solat kerananya.
Begitu juga individu Muslim yang berbuat janji, apatah lagi janji mereka kepada
Allah seperti dalam lafaz yang diungkapkan dalam solat, sesungguhnya hidupku,
matiku dan seluruh amal ibadatku adalah hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam.
Tetapi selepas solat, banyak perkara yang dijanjikan itu disanggah secara
langsung atau tidak langsung, ramai Muslimat yang solat dengan pakaian kain
telekung yang mencantikkah penampilan mereka, tetapi ramai juga di kalangan
mereka mendedahkan aurat atau menampakkan rambut mereka di hadapan khalayak
lelaki.
Begitu juga dengan amanah yang diberi, terutamanya amanah sebagai manusia Islam
yang diwajibkan untuk melaksanakan segala titah perintah Allah SWT dalam erti
kata sebenarnya. Tetapi ia hanya seruan yang tertinggal di atas mimbar oleh
khatib pada setiap hari Jumaat, ia tidak digarap dengan baik oleh para jemaah,
amanah untuk membangun bersama Islam tidak ditepatinya. Amanah untuk
mendaulatkan Islam juga hanya retorik semata-mata, kesemua agenda hidup tidak
berteraskan untuk kurangkan ketawa dan menangis banyak kerana takut kepada
Allah.
Program-program kuliah dan ceramah di masjid-masjid atau surau-surau
kebanyakannya dihadiri oleh golongan pesara walaupun terdapat golongan muda
atau remaja, tetapi jumlahnya terlalu sedikit. Mungkin kempen kepada golongan
ini untuk ke masjid atau surau tidak dikuat-kuasakan oleh pihak berkuasa, sebab
mereka pun tidak terfikir untuk ke masjid atau surau, tetapi kempen untuk
program ketawa seperti ?Jomheboh? dan lain-lain dipromosikan dengan hebat
sekali, sebab yang berkempen pun akan menyertainya.
Yang Pahit Itu..
Kepada mereka dibacakan sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:
“Kemanisan di dunia akan memahitkan nanti di akhirat, dan apa-apa yang
memahitkan di dunia akan memaniskan seseorang itu di akhirat.”
Sesuatu yang manis pasti akan menggembirakan seseorang, seperti kerap makan
durian yang sedap dan enak, tetapi ia akan menjadikan seseorang itu mungkin akan
terkena obesiti dan kencing manis, berbanding dengan ubat periuk yang pahit,
bagi pengamal yang sering meminumnya walaupun tidak sedap, tetapi ia
menjanjikan kesihatan yang baik.
Begitulah sebaliknya bagi mereka yang mengutamakan yang pahit, maksudnya
menjalani proses hidup sebgai Muslim yang beramal dengan solat lima kali sehari
semalam. Ia menjadi manis bagi orang biasa buat, tetapi ia dianggap pahit atau
sukar untuk dilakukan bagi mereka yang tidak biasa atau golongan yang memiliki
ciri-ciri orang munafik.
Apapun semua yang pahit itu sebenarnya akan membahagiakan seseorang itu nanti
di alam akhirat, termasuklah berada dalam jemaah yang berteraskan Islam. Untuk
memajukan Islam sebagai cara hidup bukanlah satu perkara yang mudah, namun ia
memerlukan kesabaran yang cukup tinggi dan kewarasan pemikiran untuk
mendapatkan syafaat (rekomendasi) daripada baginda Rasulullah s.a.w. di akhirat
kelat, Insya-Allah. Yang penting banyakkan menangis kerana takut kepada Allah
SWT.