Petua Menjadi Pelajar Cemerlang
Menurut Al Quran
Anda inginkan petua-petua untuk
menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada?
Apa kata kita renungkan kembali
beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di
permulaan surah Al-Mu'minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.
01.Keyakinan,
kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT
"Sesungguhnya berjayalah
orang-orang yang beriman." [23:1]
Iman dan kejayaan disebut oleh
Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan
keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal
disebutkan dibawah.
02.Fokus,
bersungguh-sungguh, sepenuh hati
"iaitu orang-orang
yang khusyuk dalam solatnya." [23:2]
Lakukan satu-satu perkara dalam
satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke
mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.
03.Prioriti.
Mengutamakan apa yang utama.
"dan orang-orang
yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak
berguna)." [23:3]
Kebiasaannya dalam menghadapi
musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan
menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook
dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang
telah kita peruntukkan.
Sebaik-baiknya kita
mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita
dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok
baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan
bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.
Namun, sebaik-baiknya kita
gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu', melakukan solat sunat dan membaca
Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan
lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji
pelajaran.
Kita dikehendaki menghindarkan
diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara
sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah
untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan
dosa dan kemurkaan Allah SWT.
04.Prihatin
sesama kita
"dan orang-orang yang
menunaikan zakat." [23:4]
Walaupun
sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu
mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling
kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun
lepas dan lain-lain. Sharing is caring.
05.Jaga
hubungan antara lelaki dan perempuan
"dan orang-orang
yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau
hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada
tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang
melampaui batas." [23:5,6,7]
Janganlah
kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara
lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang
ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.
Padahal Allah SWT kan sentiasa
ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan
meminta pada-Nya.
06.Jujur,
amanah
" dan orang-orang
yang memelihara amanah-amanah dan janjinya."[23:8]
Bukankah kita telah berjanji
dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih
penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan
peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada
kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat
bekalan di akhirat sana?
Elakkan menipu ketika
peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana
masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah "Bismillahi
tawakkaltu 'ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil 'azim."
07.Tepati
waktu
"dan orang-orang
yang memelihara solatnya." [23:9]
Konsep yang boleh diambil dalam
konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar
dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti
dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti
menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan
kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima
kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau
berpatang arang di pertengahan jalan.
Namun janganlah kita hanya
mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama
dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana
kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa
gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat
untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi
syurga-Nya.
"
Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga
Firdaus. Mereka kekal didalamnya." [23:10,11]
"
....Maka di antara manusia ada yang berdoa: 'Ya Tuhan kami, berilah kami
(kebaikan) di dunia.' Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat."[2:200]
"Dan
di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami
kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa
neraka." [2:201]
"Mereka
itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan
Allah sangat cepat perhitungannya." [2:202]