Pada
zaman dahulu, ada seorang jejaka yang sangat suka membaca dan selalu
menghabiskan masanya di perpustakaan pada waktu lapang. Dia amat suka membaca
novel dan buku cerita. Pada suatu hari, dia telah terjumpa sebuah novel yang
ada tertulis pada kulit novel itu nama dan alamat seorang gadis di salah satu
muka suratnya. Tertulis di situ : "Catrina, ikhlas dan perlukan
sahabat."
Tergerak
hati jejaka untuk mengutus surat kepada si gadis misteri itu. Setelah pulang ke
rumah, jejaka itu menulis surat untuk memberitahu niat ingin berkawan dengan
gadis itu. Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis
tersebut bahawa dia juga bersetuju untuk berkawan dengan si jejaka.
Hari
betukar minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar kepada
perasaan sayang. Namun begitu mereka masih belum pernah bersua muka. Si jejaka
ingin sekali bertemu si gadis misteri dan begitu juga dengan si gadis. Walaupun
kedua-keduanya masih belum melihat rupa masing-masing, tetapi perasaan sayang
tetap berbuku di hati.
Pada suatu
hari, si jejaka dipanggil oleh bala tentera untuk pergi ke medan perang. Si
jejaka merasa amat susah hati kerana dia bimbang sekiranya dia mungkin tidak
dapat berjumpa dengan si gadis kesayangannya. Maka diutuskannya sepucuk surat
berbunyi, "kalau Allah panjangkan jodoh kita, dan andai kamu masih sayang
padaku, kita berjumpalah di stesen keretapi pada hari perang diumumkan tamat
nanti. Aku akan memakai pakaian tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna
merah. Aku akan mengenali kamu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga
mawar merah. Setelah itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam dan bertemu
orang tuaku."
Maka pergi
lah jejaka ke medan perang dengan tenang setelah mengutuskan surat itu...
Beberapa
bulan kemudian...
Pada hari
pengumuman perang tamat, si jejaka pergi ke stesen keretapi yang dijanjikan
sambil memegang sekuntum bunga mawar merah di tangannya. Diperhatikannya
seorang demi seorang gadis yang berada di stesen keretapi itu sekiranya ada
yang turut memegang bunga mawar merah sepertinya.
Tiba-tiba,
si jejaka ternampak seorang gadis yang agak berisi, sedikit hitam dan
berjerawat mukanya duduk di kerusi roda sambil melihat sekeliling seolah-olah
mencari seseorang. Kakinya kudung dan tangannya cacat sebelah. Sebelah lagi
tangannya memegang sekuntum bunga mawar berwarna merah. Si jejaka sangat
terkejut melihat keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat
berbeza dari imaginasinya, namun dia memberanikan diri menghampiri gadis
tersebut.
"Catrina?"
Gadis itu
melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus menghulurkan
bunga mawar kepada si gadis dan berkata, "aku amat merinduimu. Terimalah
bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama kedua ibu bapaku. Orang
tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu denganmu," kata jejaka itu.
Si gadis
itu tersenyum lagi dan berkata, "Aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi
ada seorang gadis cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi.
Dia memintaku memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di
hadapan stesen ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang
tuamu."
----------TAMAT------------
Berapa
ramaikah manusia yang sesuci hati jejaka ini? Dia melihat kepada hati dan bukan
kepada rupa. Dia telah mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan
sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah Catrina.
Masihkah lagi wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda itu?
No comments:
Post a Comment