Sallim ala kulli muslim abadan abada..Allahu Akbar!!

Tidaklah mata seseorang menistiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari apa neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi, maka wajahnya tidak akan dikotori debu kehinaan.Apabila seorang dari kaum itu menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidak ada sesuatupun yang tidak ada kadar dan balasan, kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api..

Friday, November 30, 2012

Ikhtilat ~ percampuran lelaki dan perempuan ~


Meyakini bahawa agama Islam adalah sebuah agama yang lengkap, menyeluruh dan sempurna adalah suatu perkara yang wajib bagi setiap orang Islam. Bermakna, setiap daripada apa yang terkandung dalam syariat Islam wajib diimani dan diyakini bahawa ianya datang daripada Allah sebagai peraturan dan hukum, bukannya ciptaan hawa nafsu mahupun kehendak manusia.
Setiap yang datang daripada Allah itu pula, baik bersifat arahan mahupun larangan, terkandung tujuan-tujuan tertentu demi kebaikan dan kemaslahatan manusia.
Rentetan itulah, para ulamak menulis suatu bab yang sangat penting iaitu Maqasid As-Syari’ah A-Islamiah ( tujuan-tujuan syariat dalam Islam ). Ia meliputi perbincangan mengenai setiap perkara yang Islam anjurkan dan setiap perkara yang Islam tegah pasti berpaksikan konsep memberikan seluas-luas kebaikan kepada manusia dan menutup serapat-rapatnya ruang kerosakan kepada manusia. ( جلب المصالح ودرء المفاسد )
Itulah Islam.
Malangnya, dewasa ini ramai sekali umat Islam yang jahil dengan agama mereka sendiri, sehingga kejahilan tersebut memakan diri mereka apabila segelintir daripada mereka mula memandang formula-formula yang lain sebagai lebih baik daripada Islam itu sendiri. Mereka percaya dan mengikut Islam hanya pada urusan solat dan zakat, namun meminggirkan Islam dalam urusan muamalat, hubungan sosial dan pentadbiran.

IKHTILAT
Saya memetik satu bab yang agak banyak diperbincangkan oleh muda mudi khususnya di IPT serta kolej saya sendiri Kolej matrikulasi Kedah.
Ada orang membincangkan bab ikhtilat dengan lunas-lunas ilmu yang betul dan ada juga yang membincangkan bab ikhtilat ini jauh dari disiplin ilmu yang sebenar. Sedang satu pihak memandang serong pada satu pihak yang lain dan beranggapan pendapat serta pendirian merekalah yang paling benar.
Bagi yang bertegas dengan dalil serta nas yang dipelajaridari al quran,al hadis dan sumber hokum yang lain, maka mereka dilabel sebagai tertutup dan jumud.
Bagi yang cenderung memilih formula dari barat dan tidak berpaksikan nas-nas agama, maka mereka dilabel sebagai terbuka dan hanyut.
Perbincangan terus menerus akhirnya membawa kepada pertelingkahan dan rasa tidak puas hati di antara satu sama lain.

MAQASID
Saya kira, sangat cantik jika kesemua pendapat dirujuk kembali kepada apa yang saya sebutkan di atas, iaitu tentang maqasid agama itu sendiri. Kita wajib beriman dan percaya, bahawa sesuatu yang diletakkan oleh Islam sebagai A pasti ada tujuan-tujuan tertentu yang hendak dicapai. Begitu juga sesuatu yang diletakkan oleh Islam sebagai B, C dan seterusnya. Kesemuanya ada tujuan yang hendak dicapai. Dan perlu juga diingat, maqasid ini perbincangan tentang perkara dasar, bukannya teknikal.
Sebagai contoh, haramnya minum arak adalah jelas dan tujuannya juga jelas. Itu perkara dasar yang Islam letakkan sempadan. Namun cara bagaimana untuk memastikan masyarakat tidak minum arak, tidak membeli arak dan sebagainya, itu terbuka kepada perbincangan.
Persoalan ikhtilat, maqasidnya jelas. Kenapa ada larangan? Supaya masyarakat atau komuniti terjaga, bebas dari risiko maksiat dan zina serta membenteng maruah seorang muslim atau muslimah itu sendiri. Ini suatu dasar yang Islam hendak jaga. Justeru setiap daripada kita wajib berpegang dan tunduk dengan dasar ini sebagai suatu yang datang daripada Allah. Tidak boleh ada sebahagian yang menganggap ini rekaan manusia, atau semata-mata pemikiran rasional manusia, suatu pendapat yang ada pro dan contra dan sebagainya.
Suatu perkara yang merbahaya pada sebahagian orang adalah apabila mereka meletakkan konsep yang dibawa oleh Islam sebagai ‘sama dan setaraf’ dengan konsep-konsep yang dibawa oleh barat. Akhirnya mereka buta dan bersangka buruk dengan ajaran agama mereka sendiri.

ISLAM BUKA ATAU TUTUP
Sebelum ini saya telah menulis tentang ikhtilat dan sedikit sebanyak menyentuh tentang hukum. Saya kira ianya jelas dan saya tidak bercadang mengulangi perbincangan tentang hukum, kerana kesimpulan daripada perbincangan tersebut adalah BOLEH DAN BERSYARAT.
Justeru siapa yang tertutup sampai jumud?
Mereka adalah orang-orang yang berpegang dengan teks ( nas Al-Quran dan Hadith ) namun kurang mendalami tentang fiqh al waqi’ ( kefahaman tentang situasi semasa ). Golongan fuqaha’ sejak dari zaman dahulu diriwayatkan sebagai bercanggah dan berbeza-beza pendapat ataupun fatwa mereka disebabkan satu faktor utama iaitu perbezaan tempat dan masa. Hari ini, sekiranya masih wujud golongan yang berkeras dengan teks tanpa memberi pertimbangan terhadap konteks, maka mereka akan ditolak.
Saya juga tidak menafikan, sikap segelintir daripada mereka sedikit sebanyak memberi gambaran buruk tentang maqasid agama itu sendiri. Sehingga wujud fitnah, salah faham dan pandangan serong bukan daripada orang bukan Islam, bahkan daripada orang Islam itu sendiri.
Siapa pula yang terbuka sampai hanyut?
Mereka adalah orang-orang yang mengambil ringan persoalan SYARAT. Sebagai contoh, ikhtilat dibenarkan dalam urusan pembelajaran tetapi antara syarat yang mesti dijaga adalah masing-masing perlu memastikan suasana ikhtilat bebas daripada fitnah. Sebagai contoh, sekumpulan muslimin dan muslimat berada di suatu tempat atas urusan yang harus, misalnya berjual beli. Syarat yang wajib dijaga adalah tidak berdua-duaan, tidak memandang-mandang tanpa hajat dan tidak membuka ruang fitnah. Tetapi tiba-tiba mereka bukan hanya bercampur gaul, bahkan boleh pula bergelak ketawa, usik mengusik dan bergambar bersama!
Inilah yang dibenci oleh agama. Keterbukaan yang menjadikan masing-masing hanyut dan bebas, dengan beranggapan perkara tersebut dibolehkan. Persoalannya, adakah ketika anda berpendapat ikhtilat itu dibenarkan, tatkala itu juga anda merasakan akhlak perlu dicampak ke tepi dan tidak perlu dipertahankan?

KOMUNITI MUSLIM
Sesebuah komuniti yang baik, selamat dan sejahtera perlu dinilai mengikut neraca Islam, bukan neraca musuh Islam.
Baik, selamat dan sejahtera dalam sesebuah masyarakat bukan hanya pada kawasan perumahan yang bebas dari kecurian, bekalan air yang mencukupi, pengangkutan awam yang selesa dan sebagainya. Bahkan konsep baik, selamat dan sejahtera juga perlu dinilai pada sejauh mana masyarakat dalam komuniti tersebut tunduk kepada Allah dan hukum hakamnya, mempraktikkan nilai akhlak Islamiah dalam kehidupan seharian mereka dan menjaga batas-batas serta larangan Allah sehabis kemampuan mereka.
Ini kerana pada pandangan orang yang mengecualikan agama dalam kehidupan mereka, selamat itu adalah apabila harta benda mereka terjaga biarpun masyarakat muslim terlibat dengan budaya couple, dedah aurat, gejala ikhtilat dan sebagainya.
Namun pada pandangan orang yang beriltizam dengan agama dalam kehidupan mereka, selamat itu bukan sahaja apabila harta benda mereka terjaga, bahkan juga apabila MARUAH DAN KEHIDUPAN BERAGAMA mereka terpelihara. Tiada gejala zina mahupun mukaddimah zina yang dibiarkan berleluasa. Kehidupan mereka penuh dengan kesedaran untuk mempertahankan suasana yang baik ( biah solehah ) selari dengan maqasid agama itu sendiri. Ini takrifan selamat dan sejahtera bagi mereka.

PEMIMPIN
Saya berbicara tentang komuniti muslim. Jika dalam sebuah komuniti yang masyarakatnya 100% muslim pun keindahan Islam gagal dibumikan, apatah lagi hendak berbicara dalam komuniti yang melibatkan bukan Islam. Jika dalam masyarakat yang semuanya muslim pun tidak percaya dan ragu-ragu dengan penyelesaian Islam, apatah lagi hendak menyeru dan mengajak bukan Islam supaya mempercayai penyelesaian yang dibawa oleh Islam.
Sebab itu dalam sesebuah negara ada pemimpin. Pemimpin ini ada tugas dan tanggungjawabnya. Kelak di akhirat mereka akan ditanya oleh Allah adakah mereka melaksanakan tanggungjawab tersebut atau tidak.
Seorang Perdana Menteri misalnya, tidak hanya akan ditanya samada dia menjalankan pilihanraya secara adil ataupun tidak, bahkan turut juga akan ditanya sejauh mana usahanya memastikan masyarakat hidup dengan penghayatan Islam yang sebenar. Maka seorang Perdana Menteri akan disoal tentang konsert-konsert maksiat yang berlaku dalam negaranya. Beliau juga akan ditanya tentang gejala sosial di kalangan muda mudi dalam negaranya. Beliau juga akan ditanya tentang budaya rasuah dan salahguna kuasa yang berlaku dalam negaranya.
Benar, dosa-dosa tidak boleh dihukum oleh manusia. Dosa memang antara manusia tersebut dengan Allah. Sebahagian orang menggunakan hujah ‘personal sin’ sebagai alasan bahawa pemimpin tidak patut dipertanggungjawabkan atas dosa rakyatnya. Saya tidak bercakap tentang pemimpin akan diazab sekiranya rakyatnya berzina, tidak. Saya bercakap tentang pemimpin AKAN DITANYA sejauh mana USAHA yang telah dilakukannya bagi memastikan rakyatnya bebas dari gejala zina. Adakah usaha-usaha itu benar-benar dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh atau semata-mata ‘ambil syarat’?
Adalah suatu yang bodoh dan dungu apabila seorang Perdana Menteri berhujahkan program Sambutan Maulidur Rasul sebagai mekanisma yang telah dilakukannya bagi memastikan masyarakat mencintai Nabi dan menghayati Islam dalam kehidupan mereka, sedangkan dalam masa yang sama dia memejamkan mata dan menghalalkan seribu satu konsert dan hiburan maksiat terus menerus dalam negaranya.
Itu Perdana Menteri, dalam konteks negara. Begitulah juga mana-mana pemimpin dalam mana-mana komuniti. Usaha untuk memastikan masyarakat terdidik dengan amar makruf dan nahi mungkar adalah TUGAS DAN TANGGUNGJAWAB mereka, apatah lagi mereka mempunyai kuasa dan mereka boleh melakukan sesuatu dengan kuasa tersebut.

PEMIMPIN YANG ADIL
Sebab itulah takrif adil dalam Islam itu luas. Bukan hanya pada kebajikan material. Bahkan maksudnya adalah MELETAKKAN SESUATU PADA TEMPATNYA. ( وضع الشىء في مكانه )
Pemimpin yang adil, akan memastikan kehidupan Islam terpraktik dalam masyarakat yang dipimpinnya.
Pemimpin yang adil, akan menyedari bahawa dia sedang menanggung beban dan amanah daripada Allah, yang kelak akan ditanya.
Pemimpin yang adil, tidak akan menjadikan gejala ikhtilat yang wujud dalam masyarakat yang dipimpinnya sebagai perkara remeh yang dipandang sebelah mata.
Pemimpin yang adil, akan berusaha menjernihkan konsep Islam supaya difahami dan dihayati oleh sekalian orang yang dipimpinnya.
Namun semua ini tidak akan terjadi jika yang lahir adalah pemimpin yang HANYA mementingkan nama dan reputasi. Pemimpin yang gembira apabila disanjung-sanjung dan dipuji-puji oleh rakyatnya. Pemimpin yang mengikut satu demi satu kehendak masyarakat tanpa menjadikan Islam sebagai paksi. Pemimpin yang hanya menjadikan Islam sebagai bab tazkirah di masjid dan surau bukan untuk dibawa dalam kepimpinan dan pentadbiran.

BUAT KAMU YANG CINTAKAN TAQWA
Janji Nabi s.a.w dalam hadithnya :
لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ وَهُمْ كَذَلِكَ
Selama-lamanya akan ada satu golongan yang berdiri dan memperjuangkan kebenaran, tidak memberi kesan ke atas mereka oleh golongan yang menentang dan meremeh-remehkan, sehinggalah datang janji Allah sedang mereka tetap teguh dengan perjuangan mereka.
[ H.R Muslim : 1920 ]
Kita mesti menjadi salah seorang yang berdiri tetap dengan golongan tersebut. Meskipun kita hidup dalam sebuah masyarakat yang tidak mementingkan Islam sebagai cara hidup, yakinlah bahawa golongan yang beriltizam dengan Islam sebagai cara hidup akan terus kekal dan bertambah, meskipun golongan yang menentang dan memperkecil-kecilkan itu adalah majoriti.
Insan yang cintakan Taqwa, adalah insan yang dijaga oleh Allah. Insan yang menyematkan Islam di hatinya, akan diberi kemuliaan dan JIWA BESAR oleh Allah dalam kehidupannya.
Tentang ikhtilat, sebaiknya bebaskan diri kita dari polemik tertutup jumud dan terbuka hanyut.
Gali kembali konsep sebenar Islam untuk dihayati, diyakini, diimani, disebati dalam diri dan disebarkan pada masyarakat. Inilah kerja kita. Inilah namanya DAKWAH.
Dan sesungguhnya dakwah itu telah dijanjikan dengan SUSAH.
Firman Allah Ta’ala :


” Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang adanya. Bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya “
[ Al-Mukminun : 71 ]

Sekian. Sumber : berasaskan sumber muilham.com

No comments: