Sallim ala kulli muslim abadan abada..Allahu Akbar!!

Tidaklah mata seseorang menistiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari apa neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi, maka wajahnya tidak akan dikotori debu kehinaan.Apabila seorang dari kaum itu menangis, maka kaum itu akan dirahmati. Tidak ada sesuatupun yang tidak ada kadar dan balasan, kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api..

Tuesday, November 27, 2012

Khutbah Bahaya Syiah


Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
Kira–kira hampir sebulan yang lalu kita dikejutkan dengan satu berita yang melaporkan tentang sekumpulan paderi Kristian sedang merancang untuk menjadikan agama Kristian sebagai agama rasmi negara. Beberapa hari selepas itu, satu perjumpaan telah diadakan di antara Perdana Menteri Malaysia dengan beberapa orang paderi Kristian.
Ekoran daripada perjumpaan itu, kerajaan Malaysia menafikan berita tersebut dengan mengatakan bahawa laporan tersebut adalah tidak benar. Setelah menyiarkan berita palsu tersebut Utusan Malaysia hanya menerima surat teguran sahaja daripada Kementerian Dalam Negeri. Apakah tujuan/motif akhbar Utusan Malaysia menyiarkan berita palsu tersebut tidak ramai yang tahu. Hanya Utusan Malaysia sahaja yang tahu. Kita biarkan Utusan Malaysia dengan berita mereka yang mungkin palsu dan tidak pasti. Marilah kita tumpukan perhatian kita kepada sesuatu yang pasti. Apa yang pasti ialah masyarakat Islam sekarang ini diancam oleh satu ajaran, yang tidak lain dan tidak bukan iaitu ajaran Syiah.
Ajaran Syiah pada hakikatnya adalah satu ajaran yang dirancang dan disusun sekian lama oleh musuh-musuh Islam bertujuan untuk memecahbelahkan umat Islam dari dalam. Perancangan ini telah dimulakan oleh seorang Yahudi yang berpura-pura Islam yang dikenali dengan nama Abdullah bin Saba’. Boleh dikatakan ajaran sesat pertama timbul selepas kewafatan Rasulullah saw adalah ajaran Syiah. Kejayaan Syiah yang pertama adalah pembunuhan Khalifah Islam yang ketiga iaitu Sayyidina Uthman bin Affan.
Sidang jumaat yang di muliakan Allah swt,
Apakah intisari ajaran Syiah yang dikepalai oleh Abdullah bin Saba’ itu? Apakah pegangan atau fahaman-fahaman yang dianuti oleh penganut-penganut Syiah?
Syiah ialah golongan yang mendakwa Sayyidina Ali lebih utama daripada sahabat-sahabat lain dan paling berhak untuk memimpin umat Islam selepas kewafatan Rasulullah saw. Mereka juga mendakwa bahawa Sayyidina Ali merupakan pengganti yang telah dipilih oleh Rasulullah saw secara nas. Di samping itu mereka juga mempunyai fahaman-fahaman lain yang bertentangan dengan akidah Islam . Golongan Syiah telah terpecah kepada lebih daripada 300 kumpulan kerana wujudnya fahaman-fahaman yang saling bertentangan. Dari mimbar jumaat pada hari ini kita akan tumpukan kepada salah satu daripada kumpulan-kumpulan tersebut yang di kenali dengan kumpulan Syiah Imamiyyah Ithna Asyariyyah atau Syiah Imam dua belas. Aliran inilah yang dipegang dan dianuti oleh kerajaan Iran sekarang. Golongan inilah yang telah muncul dalam masyarakat kita dan telah difatwakan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Kumpulan ini dikenali juga sebagai Syiah Rafidhah kerana kumpulan ini menolak kepimpinan Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar. Marilah sama-sama kita renung sejenak mengenai kepalsuan ajaran Syiah, percanggahannya dengan agama Islam, bahayanya kepada aqidah, syariat, akhlak dan negara umat Islam di setiap tempat dan ketika.
Bahaya kepada aqidah
Seorang ulama besar Syiah, iaitu Muhammad bin Yaakub al-Kulaini meriwayatkan dalam ‘Ushul Kafi’ dari Abi Abdillah, kata beliau, “Sesungguhnya dunia dan akhirat adalah kepunyaan Imam. Dia boleh meletakkannya di mana dikehendakki dan memberikan kepada sesiapa yang dikehendakkinya. Itu adalah satu kebenaran dari pihak Allah kepadanya.”
Sedangkan Allah swt telah berfirman di dalam al Quran yang berbunyi,
Musa Berkata kepada kaumnya: “Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; Sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; diberikan-Nya kepada siapa yang dihendaki-Nya dari hamba-hamba-Nya dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.” [Al-'Araaf: 128]
Allah swt berfirman lagi di dalam surah al-Hadid ayat 2 yang berbunyi,
“Kepunyaan-Nyalah kerajaan langit dan bumi, dia menghidupkan dan mematikan, dan dia Maha Kuasa atas segala sesuatu.” [Al-Hadid: 2]
Allah telah memberitahu bahawa langit dan bumi adalah kepunyaan-Nya tetapi golongan Syiah berpegang kepada kepercayaan bahawa langit dan bumi adalah kepunyaan imam-imam mereka. Kepercayaan ini sangat bertentangan dengan aqidah Islam.
Al-Kulaini mengemukakan satu riwayat dari Jaafar as-Sadiq bahawa beliau berkata, “Sesungguhnya aku mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi. Aku mengetahui apa yang ada di syurga dan di neraka. Aku mengetahui perkara yang berlalu dan perkara yang akan datang.” [Kitab al-Hujjah Min al-Kafi]
Ini bermakna Syiah menyekutukan Allah swt dengan para imam dalam mengetahui perkara ghaib.
Khomeini mengatakan di dalam bukunya Hukumah al-Islamiyyah bahawa imam-imam mempunyai kekuasaan terhadap setiap zarah-zarah dan atom-atom di alam semesta. Tunduk kepada imam-imam setiap zarah dan atom di alam semesta. Kata-kata ini jelas bertentangan dengan apa yang di firmankan oleh Allah swt.
Aqidah Bada’
Golongan Syiah mempercayai Allah bersifat dengan sifat al-Bada’. Al-Bada’ bererti jahil dan tidak mempunyai ilmu yang meliputi. Lihatlah bagaimana Syiah meletakkan sifat jahil kepada Allah swt sedangkan Allah berfirman di dalam surah al-Talaq ayat 12,
“Allahlah yang menciptakan tujuh langit dan seperti itu pula bumi. Perintah Allah berlaku padanya, agar kamu mengetahui bahwasanya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu, dan sesungguhnya Allah ilmu-Nya benar-benar meliputi segala sesuatu.”
At-tahrif al-Quran
Di antara aqidah Syiah ialah at-tahrif al-Quran, iaitu satu kepercayaan bahawa al-Quran yang ada di tangan umat Islam hari ini adalah al-Quran palsu yang sudah diubah, ditokok tambah dan diselewengkan. Mereka percaya bahawa al-Quran yang sebenar, yang telah diturunkan oleh Allah swt hanya dikumpul dan disimpan oleh Sayyidina Ali dan imam-imam selepasnya. Sekarang ini, mereka percaya al-Quran berada pada Imam Mahdi. Dan mereka juga percaya bahawa al-Quran yang diturunkan oleh Jibril a.s. kepada Rasulullah saw mengandungi sebanyak 17,000 ayat. Sedangkan al-Quran yang menjadi panduan hidup kita hanya mempunyai 6,000 ayat lebih sahaja.
Aqidah al-Imamah
Golongan Syiah juga percaya kepada konsep al-Imamah dan Walayah. Jawatan imamah ini disamakan oleh golongan Syiah seperti kenabian. Jawatan ini diberikan oleh Allah swt kepada orang-orang tertentu sahaja. Imamah merupakan satu rukun iman. Sesiapa yang tidak mempercayai imamah ini tidak dikira sebagai mukmin mengikut aqidah mereka. Kepercayaan kepada imamah ini cukup penting kerana imam-imam ini boleh membatalkan apa-apa yang telah ditentukan Rasul saw. Mereka juga percaya bahawa dua belas Imam yang dilantik itu menerima wahyu dan ma’ksum serta wajib ditaati.
Khomeini pernah ditanya sekiranya imam-imam ini sangat penting kedudukannya mengapa Allaw swt tidak menyebutnya di dalam al-Quran? Lalu Khomeini menjawab sekiranya nama-nama mereka disebut di dalam al-Quran sekali pun, sudah pasti ayat-ayat itu akan dikeluarkan dari al-Quran oleh orang-orang yang gila kuasa seperti Abu Bakr dan Umar.
Aqidah takrif as-Sahabah
Golongan Syiah memaki hamun dan mengkafirkan para sahabat Rasulullah saw termasuk Sayyidina Abu Bakr dan Sayyidina Umar. Kitab-kitab Syiah yang mu’tabar penuh dengan caci maki dan mengkafirkan para sahabat termasuk isteri-isteri Rasulullah saw. Di dalam kitab Rijal al-Kasyi, seorang ulama’ Syiah yang bernama At-Thusi meriwayatkan bahawa para sahabat telah murtad setelah kewafatan Rasulullah saw kecuali Miqdad al-Aswad, Abu Dzar al-Ghifari dan Salman al-Farisi.
Khomeini di dalam kitabnya Kasyfu Al-Asrar telah mengkafirkan Sayyidina Umar. Beliau menganggap Abu Bakr dan Umar jahil tentang hukum-hukum Allah. Beliau juga menuduh Abu Bakr dan Umar mereka-reka hadith atas nama Rasulullah saw.
Aqidah Ar-Raj’ah
Satu lagi kepercayaan orang-orang Syiah ialah kepercayaan kepada raj’ah. Raj’ah ertinya orang-orang tertentu akan dibangkitkan sebelum hari kiamat. Orang-orang ini termasuklah Rasulullah saw, isterinya Aisyah dan Hafsah, Abu Bakar, Umar, Ali, Hassan, Hussain, Mu’awiyah dan beberapa imam mereka yang lain. Termasuk juga orang-orang yang menentang ahli al-bait dari zaman awal hingga akhir zaman. Mereka mengatakan bahawa Abu Bakr, Umar, Aisyah, Hafsah dan lain-lain sahabat akan dibongkarkan dari kubur-kubur mereka dan disalib serta diisytiharkan di hadapan orang ramai bahawa mereka ini adalah orang-orang kafir, perampas kuasa dan penjenayah kepada agama. Ini yang akan berlaku di zaman raj’ah mengikut kepercayaan orang-orang Syiah.
Pendapat mereka dalam hal ini bercanggah secara jelas dengan nas al-Quran dan al-hadith. Menurut aqidah Islam, setiap manusia yang telah mati tidak akan dibangkitkan sehinggalah berlakunya kiamat. Rasulullah saw pernah bersabda bahawa tidak ada negeri setelah kematian melainkan syurga dan neraka.
Sidang jumaat yang di rahmati Allah swt
Bahaya kepada syariat
Musuh-musuh Islam yang merupakan pengasas Syiah telah mengenepikan dan memperkecilkan syariat yang dibawa oleh Rasulullah saw. Al-Quran menyatakan bahawa seseorang akan diberi balasan dan ganjaran mengikut amal yang dilakukan olehnya. Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya. Al-Quran juga menyatakan bahawa orang-orang yang tidak solat akan di masukkan ke dalam neraka. Syiah pula mengatakan itu semua tidak penting asalkan seseorang sudah menerima dan mempunyai hubungan kasih sayang dengan para imam. Mereka juga percaya untuk masuk ke syurga seseorang tidak perlu terikat kepada syariat asalkan ia telah mencintai Ali dan imam-imam sesudahnya.
Golongan Syiah juga tidak memandang berat terhadap solat, zakat dan haji. Memadai dengan ada segolongan daripada mereka yang mengerjakan ibadat tersebut. Ajaran ini bertujuan untuk mengelirukan umat Islam.
Golongan Syiah menghidupkan amalan jahiliyah atas nama Islam dengan mengemukakan kahwin mut’ah. Perkahwinan mut’ah tidak memerlukan kepada saksi dan wali. Ia boleh dilakukan di antara seorang perempuan dan seorang lelaki di mana-mana sahaja, boleh dilakukan dengan perempuan Majusi, Nasrani dan Yahudi. Boleh juga dilakukan dengan pelacur. Ulama Syiah, At-Thusi di dalam kitabnya, mengatakan bahawa tidak perlu disoal dan ambil tahu samada perempuan itu mempunyai suami atau tidak. Mengikut Syiah, bilangan perempuan yang boleh dikahwini secara mut’ah tidak ada had. Ia tidak terbatas kepada empat orang sahaja. Mereka meriwayatkan dari Jaafar as-Saddiq beliau ada berkata, “Berkahwinlah dengan mereka secara mut’ah walaupun sampai seribu orang kerana mereka itu termasuk di antara perempuan yang disewakan.”
Selain dari itu, seseorang lelaki boleh berkahwin secara mut’ah dengan seorang perempuan yang sama beberapa kali. Lebih teruk lagi, golongan Syiah berpendapat harus menyewakan faraj perempuan dan menghadiahkan kepada sahabat handai. At-Thusi meriwayatkan dari Abu Hassan bahawa dia berkata, “Aku bertanya Abi Abdillah tentang peminjaman faraj”. Dia menjawab, “Tidak mengapa.”
Pihak lelaki tidak diwajibkan untuk memberi nafkah kepada pasangannya dan juga zuriat yang dilahirkan hasil dari pernikahan tersebut. Pihak perempuan yang dinikahi secara mut’ah ini tidak berhak untuk mewarisi harta dari pasangan lelakinya.
Dengan mengemukakan perkahwinan mut’ah ini pada hakikatnya Syiah mahu membuka pintu pelacuran dan hubungan seks secara bebas tanpa sebarang sekatan. Apakah tujuan Syiah mengemukakan kahwin mut’ah kalau tidak untuk merosakkan syariat Islam.
Bahaya kepada akhlak
Orang-orang Syiah bersikap biadap terhadap nabi-nabi dan rasul-rasul. Al-Kulaini menyebutkan bahawa darjat imamah atau imam-imam mereka lebih tinggi dari nabi-nabi dan rasul-rasul.
Seorang ulama Syiah, Mulla Baqir al-Majlisi berkali-kali mengatakan di dalam kitabnya Hayatul Qulub bahawa isteri Rasulullah saw iaitu Aisyah dan Hafsah sebagai munafik dan kafir. Beliau mengemukakan riwayat yang kononnya muktabar menceritakan bahawa Aisyah dan Hafsahlah yang telah meracuni Rasulullah saw sehingga mengakibatkan kewafatan baginda.
Golongan Syiah percaya bahawa Nabi Adam dikeluarkan dari syurga kerana berdengki dengan imam dua belas. Oleh itu, Allah murka lalu mengeluarkan Adam dan Hawa dari syurga. Nabi Ayub diuji oleh Allah swt dengan penyakit kerana tidak menerima imam dua belas. Allah swt menyembuhkan Nabi Ayub setelah beliau menerima imam dua belas. Nabi Yunus ditelan oleh seekor ikan besar untuk sekian lama kerana tidak percaya kepada imam dua belas.
Sidang jumaat yang di hormati Allah
Satu lagi fahaman yang tidak dapat di pisahkan dari golongan Syiah ialah taqiyyah. Taqiyyah pada hakikatnya adalah berdusta atau berbohong. Imam Syafie pernah berkata, “Tidak pernah aku melihat golongan yang menurut hawa nafsu yang lebih pembohong dari golongan Syiah.” Al-Kulaini meriwayatkan daripada Abi Abdillah beliau berkata, “Allah mengangkatkan darjat orang yang bertaqiyyah dan merendahkan orang yang tidak mempunyai taqiyyah.” Taqiyyah adalah sesuatu yang wajib diamalkan oleh seseorang yang berfahaman Syiah. Taqiyyah merupakan amalan yang paling afdhal dan tidak boleh ditinggalkan. Sehingga di katakan tidak ada iman bagi orang-orang yang tidak bertaqiyyah. Mereka mengamalkan taqiyyah ini secara meluas dalam segala perkara.
Rasulullah saw pernah mengahwinkan dua anak perempuannya dengan Sayyidina Uthman. Bagi golongan Syiah Sayyidina Uthman ini kafir. Mana mungkin Rasulullah sanggup mengahwinkan anak kesayangannya dengan seorang kafir. Orang Syiah memberi alasan bahawa Rasulullah saw bertaqiyyah.
Sayyidina Ali pernah bersolat di belakang Abu Bakr dan sentiasa menyokong dan membela Abu Bakr. Mana mungkin Ali akan membela Abu Bakr sekiranya Abu Bakr itu seorang kafir. Alasan golongan Syiah ialah Ali bertaqiyyah. Mana mungkin Ali mengahwinkan anak perempunnya dengan Sayyidina Umar sekiranya Umar seorang yang murtad. Alasan Syiah ialah Ali telah bertaqiah.
Di dalam kitab Syiah sendiri, Sayyidina Ali telah mengharamkan kahwin mut’ah selama-lamanya. Tetapi golongan Syiah mengatakan ketika Ali mengharamkan mut’ah Ali sedang bertaqiah. Taqiyyah akan membuat umat ragu-ragu tentang Islam.
Sidang jumaat yang di rahmati Allah swt
Bahaya kepada umat
Golongan Syiah menganggap golongan ahli sunnah wal jama’ah yang berpegang dengan ajaran al Quran dan as Sunnah sebagai kafir dan lebih dahsyat kekufurannya daripada iblis. Ahli sunnah wal jama’ah pada pandangan Syiah adalah anak zina. Al-Kulaini meriwayatkan dalam kitabnya al-Kafi bahawa manusia semuanya adalah anak zina kecuali Syiah.
Sembelihan ahli sunnah tidak halal di sisi Syiah seperti kata Khomeini, “Halal sembelihan semua golongan dalam Islam kecuali sembelihan ahli sunnah walaupun ia menyatakan Islam.”
Ajaran seperti ini akan menimbulkan suasana benci-membenci dan berdendam di dalam masyarakat dan seterusnya memecahbelahkan umat Islam.
Golongan Syiah percaya kepada perkara-perkara khurafat dan tahyul. Syiah menganggap bandar Kufah sebagai tanah haram. Bersolat padanya pasti mendatangkan pahala yang besar. Tanah Karbala dianggap sebagai tanah yang suci. Tanahnya digunakan oleh orang-orang Syiah sebagai tempat sujud di mana saja di dunia ini. Mereka menganggap tanah Karbala itu boleh dimakan sebagai penawar yang boleh menghilangkan berbagai-bagai jenis penyakit.
Bahaya kepada negara
Ajaran Syiah bukan sahaja bahaya kepada aqidah dan syariat Islam, tetapi ia juga membawa ancaman kepada negara. Dan ini telah di buktikan oleh fakta sejarah.
Kemenangan orang-orang Mongol di bawah pimpinan Hulagu Khan ke atas Baghdad pada tahun 656H yang menyaksikan pembunuhan umat Islam beramai-ramai yang sungguh mengerikan adalah kerana pertolongan dan perancangan jahat orang-orang Syiah. Khalifah pada masa itu iaitu Al-Mu’tasim leka dan tidak memperhatikan bahaya Syiah lalu melantik seorang menteri dari kalangan Syiah yang bernama Ibn Al-Qamiy. Ketika menjawat jawatan menteri Ibn Al-Qamiy telah mengambil kesempatan dan memanfaatkan kedudukannya. Beliau mengurangkan bilangan tentera Islam, memberitahu musuh mengenai kelemahan kerajaan serta merancang tipu helah untuk memerangkap khalifah. Dengan tipudaya yang licik oleh Ibn Al-Qamiy, khalifah berserta dengan tujuh ratus yang lain yang terdiri dari para hakim, ahli fiqih dan panglima tentera telah dibunuh dengan mudah oleh Mongol. Selepas kejadian itu tentera Mongol memasukki Iraq dan membunuh orang-orang Islam dari kalangan lelaki, perempuan serta kanak-kanak yang tidak terhitung banyaknya. Inilah tragedi terbesar yang menimpa umat Islam dan ianya adalah angkara tipu muslihat orang Syiah.
Pada tahun 1981, setelah golongan Syiah dapat mendirikan negara di Iran, mereka melancarkan perang terhadap Iraq. Iraq pada ketika itu di bawah pemerintahan Saddam Husin. Mereka berperang dengan Iraq kerana banyak tempat-tempat suci Syiah berada di Iraq seperti kubur Sayyidina Ali, kubur Sayyidina Husin dan tempat ghaibnya imam Mahdi mengikut kepercayaan mereka.Walaupun mereka tidak dapat menguasai Iraq pada ketika itu tetapi sekarang mereka berkongsi tanah Iraq bersama Amerika.
Sidang jumaat yang di rahmati Allah
Kesimpulan
Sekarang ini sudah ada orang-orang Syiah berketurunan Melayu, yang sudah sanggup melontarkan al-Quran ke dalam tong sampah dan berani memijak al Quran. Sesungguhnya ajaran Syiah ini bukan sahaja mengancam keharmonian masyarakat, malah boleh memusnahkan aqidah dan memporak perandakan ajaran Islam. Dalam menghadapi golongan Syiah, umat Islam harus menyatakan pendirian mereka dengan lebih tegas demi memastikan gerakan Syiah ini dapat dibendung daripada ia terus tersebar. Gerakan ini perlu dipantau agar ia tidak menular di dalam masyarakat. Pihak berkuasa seperti JAKIM dan JAIS haruslah menggandakan usaha untuk membendung perkembangan ajaran Syiah. Walaupun begitu, jangan kita terkejut sekiranya kedutaan Amerika memantau JAKIM agar tidak mengambil tindakan yang keras terhadap golongan Syiah. Pada hakikatnya, Amerika dan Iran yang berpegang dengan ajaran Syiah adalah dua negara yang bersekutu.
credit : http://karyaorbitaku.wordpress.com

No comments: